“Tetap Tolak Streram, Lebih Rela Sokong Tok Mat Yang Sudah Tentu Anak Jati” Kata Sebelas Wakil MPKK Pakatan

534

Blok Pakatan Harapan (PH) dilihat terus berpolemik dalam menentukan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Sebelas pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menegaskan pihaknya kekal dengan pendirian menolak Dr. S. Streram menjadi calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Rantau kelak.

Pengerusi MPKK Kampung Sega, Kamarul Yaakop berkata mereka juga sanggup berdepan tindakan disiplin sebagai akibat daripada tindakan menolak Timbalan Ketua PKR Rembau itu untuk bertanding merebut kerusi DUN tersebut.

“MPKK di bawah kuasa Menteri Besar, kalau dia rasa dengan menyingkirkan kami boleh menangkan Streram di Rantau, silakan.

“Kami membantah untuk kebaikan PKR dan bukannya didalangi mana-mana pihak. Kami adalah ‘otai’ reformasi dan pernah jatuh bangun bersama PKR sejak tahun 1998 lagi,” katanya ketika dihubungi media pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Kamarul menjelaskan mereka lebih tahu sentimen di peringkat akar umbi yang menolak Streram bertanding sebagai calon PH.

“Sebagai contoh apabila kami nak perkenalkannya kepada penduduk di Kampung Sega, kami diberi ‘tazkirah’ oleh penduduk yang enggan menerima Penyelaras DUN Rantau itu.

“Penduduk kata kenapa mereka mahu pilih calon yang bukan anak tempatan.

“Lebih baik sokong Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang sudah tentu anak jati dan banyak berjasa di Rantau. Macam mana kami hendak bekerja kalau calon tak disukai,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan 11 pengerusi dan setiausaha MPKK yang secara terbuka mengadakan sidang media menolak pencalonan Streram dalam PRK DUN Rantau berkemungkinan berhadapan dengan tindakan disiplin.