“Tiada Satu Langkah Proaktif Yang Dilaksanakan,” Asri Tempelak Mujahid

286

Selepas ramai yang mempekatakan tentang insiden perli-memerli diantara Dato’ Dr Asri Zainal Abidin dan Tun Mahathir berkaitan isu kedudukan agama Islam di bawah pemerintahan Pakatan Harapan beberapa hari lalu, semalam Mufti Perlis itu sekali lagi tampil mengeluarkan satu lagi kenyataan.

Asri melalui facebook DrMAZA.com dilihat mempersoalkan hasil cadangan yang telah diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof ketika pertemuan mereka sekitar Julai tahun lepas yang dilihatnya masih belum dilaksanakan.

Beliau menulis;

PERSETUJUAN YANG TERBENGKALAI

Semasa polemik saya dan YB Dr Ramasamy yang lemas, pihak YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Untuk Hal Ehwal Islam telah meminta satu pertemuan dilakukan. Saya hadir sekalipun majoriti Umat Islam tidak setuju dalam suasana ketegangan semasa itu. Tujuan saya hanya untuk menjaga keharmonian agama dan menghormati kedudukan pengurusan Islam di negara ini. Beberapa perkara dipersetujui dalam pertemuan tersebut. Saya rasa YB Dr. Ramasamy secara peribadinya juga memenuhi hasrat yang disepakati dalam pertemuan tersebut antaranya isu-isu sensitif tentang Umat Islam tidak diperkatakan secara terbuka.

Antara yang saya cadangkan semasa pertemuan tersebut yang kelihatan YB Menteri bersetuju dan YB Dr Ramasamy juga menyokong penuh ialah satu platform dialog kebangsaan yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin pelbagai agama diwujudkan. Isu-isu yang membabitkan sensitiviti antara agama dibincangkan di situ terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan ketegangan antara rakyat dalam negara ini. JAKIM dicadangkan mengendalikan hal tersebut. YB Menteri kelihatan sangat setuju.

Dukacita, perkara itu tidak berlaku sehingga hari ini. Saya tidak tahu di mana ‘tersangkut’ hal itu.

Kenyataan demi kenyataan yang sensitif khususnya yang membabitkan Umat Islam kedengaran saban hari. Hampir setiap bulan bahkan minggu timbul isu-isu baru yang membuat banyak pihak gelisah khususnya Umat Islam. Tiada satu langkah proaktif yang dilaksanakan. Saya tidak pasti apakah pentadbiran berhasrat mengambil langkah yang sewajarnya dalam mengawal keadaan yang ada?