Tiada Tarikh Khusus Tun M Lepas Jawatan, Kadir Jasin Bayangkan Anwar Ibrahim Kena ‘Game’?

474

Tiada tarikh khusus mengenai peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai penggantinya, menurut A Kadir Jasin.

Kadir yang juga penasihat media dan komunikasi perdana menteri berkata, tiada dokumen Pakatan Harapan yang menyebut mengenai tempoh masa.

Ada lima janji yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan iaitu Tun Mahathir jadi pengerusi PH, Tun M untuk memimpin PH pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu, seterusnya Tun M menjadi perdana menteri, memohon keampunan untuk Anwar dan seterusnya menyerahkan jawatan kepada Anwar.

“Namun, persetujuan itu dalam mana-mana dokumen pun tidak dinyatakan tarikh.

“Tahun 2020 ke, 2030 ke atau 2050 pun tak dinyatakan bilakah tarikhnya,” katanya sebagaimana dipetik Bernama.

Terdahulu, Kadir yang berucap kepada pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, yakin Dr Mahathir akan mengotakan janjinya.

Dalam temubual bersama Bloomberg minggu lepas, Anwar berkata beliau menjangka akan menyandang jawatan perdana menteri sebelum 2020.

Presiden PKR itu turut menjelaskan tiada tanda mana-mana parti yang memperkenalkan, mempromosikan atau melobi orang lain untuk jawatan itu.

“Ia tidak menghalang individu lain yang mempunyai cita-cita,” katanya sambil menggambarkan mereka sebagai “tidak relevan.”

Mengulas lanjut, Mahathir mengulangi beliau akan meletak jawatan seperti yang dijanjikan di tengah spekulasi yang tidak dapat disangkal bahawa Malaysia akan menyaksikan pengulangan semula tahun 1998 antara perdana menteri dan Anwar.

“Saya akan mengumumkan (tarikh itu) nanti, tetapi saya akan mengotakan janji saya,” katanya.

Perbincangan itu terjadi susulan Mahathir dikatakan memilih Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sebagai pilihan kedua untuk menggantikannya.

Bagaimanapun, Azmin yang terpalit dakwaan isu video seks menyukarkan rancangan tersebut.

Azmin yakin video berkenaan merupakan kerja orang dalam PKR yang mahu merosakkan kerjaya politiknya dan polis turut mendakwa seorang pemimpin parti politik menjadi dalang di sebalik video itu.

Polis masih menyiasat perkara ini namun Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendakwa proses pengenalan wajah gagal mengaitkan Azmin dengan video itu.

Anwar berulang kali menafikan terlibat dalam video seks itu walaupun setiausaha politiknya antara yang ditahan dalam hubungannya dengan kes berkenaan.

Sementara itu, Kadir ketika memberi ucapan menegaskan keperluan untuk meletakkan kepercayaan terhadap media arus perdana sebagai sumber utama berita yang boleh dipercayai selain media sosial.

“Media arus perdana mempunyai wartawan dan editor untuk memastikan kesahihan maklumat.

“Ini berbeza dengan media sosial, ia bukan sumber berita… ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk mengatakan apa sahaja yang mereka mahu seperti di kedai kopi.

“Oleh itu, kita tidak boleh dikelirukan, maklumat yang betul hanya boleh didapati daripada akhbar, radio, laman berita dan televisyen,” katanya.

Selain itu, bekas ketua pengarang Kumpulan News Straits Times mengakui terdapat segelintir pegawai kerajaan PH yang bergantung pada media sosial dan juga Whatsapp serta tidak membaca akhbar atau menonton berita di televisyen.