Timbalan Menteri Kerja Raya “Berbohong” Dihadapan Rakyat Semenyih?

384

Hari ini, portal SelangorKini melalui artikelnya bertajuk “Menteri naik bas lebih 1000km periksa jalan” memetik Timbalan Menteri Kerja Raya menyifatkan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) tidak pandai buat kerja sedangkan beliau dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian adalah yang pertama melakukan penjelajahan untuk memeriksa keadaan jalan di Malaysia.

Kenyataan beliau merujuk kepada 2 siri Program Jelajah FTRoadPedia yang disertainya di Sarawak yang berlangsung pada 29 September sehingga 1 Oktober 2018 dan Pantai Timur yang berlangsung pada 14 Februari sehingga 16 Februari 2019 lalu.

Berdasarkan artikel berkenaan, kenyataan yang diberikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir itu secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah siri Jelajah FTRoadPedia adalah hasil buah fikiran yang dinukilkan oleh Kerajaan Malaysia Baru.

Jika itu yang mahu disampaikan, Mohd Anuar Mohd Tahir secara tidak langsung telah berbohong kepada seluruh rakyat Malaysia dihadapan penduduk di kawasan Semenyih.

Siri Jelajah FTRoadPedia ini sebenarnya adalah sebuah hasil dari buah fikiran mantan Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusoff yang memulakan siri jelajah pertamanya pada 6 Ogos 2016 dan bertempat di Mukim Lekir, Perak.

Malahan, Dato’ Seri Fadillah Yusoff juga terlibat secara langsung dan turut sama menaiki bas dalam setiap siri Jelajah FTRoadPedia yang bermula dengan naik bas ke FTRoadpedia Zon Tengah pada Ogos 2016; diikuti FTRoadpedia Zon Timur 23 hingga 25 Februari 2017; FTRoadpedia Zon Selatan 7 hingga 9 Mei 20-9; FTRoadpedia Zon Utara 24 hingga 26 Julai 2017; selain Jelajah Pan Borneo 4-6 Feb dan beberapa lawatan tapak.

Sesungguhnya, 2 siri Jelajah FTRoadPedia yang disertai Anuar Tahir hanyalah kesinambungan yang dibawa oleh Dato’ Seri Fadillah (BN) ketika menerajui Kementerian Kerja Raya sebelum berubahnya tampuk pemerintahan negara.