Tindakan Seludup Abu Chin Peng Adalah Satu Penghinaan, Jangan Kurang Ajar – Uncle Kentang

461

KUALA LUMPUR – Tindakan menyeludup masuk abu ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) pada 16 September lalu disifatkan sebagai satu tindakan kurang ajar terhadap negara dan bertentangan dengan semangat patriotism.

Aktivis kemanusiaan Kuan Chee Heng berkata, penyeludupan masuk abu Chin Peng merupakan satu penghinaan kepada Malaysia dan kepada waris yang terkorban akibat tindakan kejam kumpulan pengganas tersebut.

Menurut Chee Heng yang juga lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, sebagai musuh negara, anggota komunis tidak boleh sama sesekali kembali menapak di Malaysia.

“Jangan kau kurang ajar dengan negara Malaysia. Kalau kamu musuh negara, kamu pilih jalan kamu dan jangan sekali kau menapak kembali ke tanah ini.

“Ia merupakan penghinaan kepada mereka yang terkorban, tercedera dan balu-balu yang hidup tanpa suami. Jangan kurang ajar dengan tanah air kita,” tegas Uncle Kentang.

Uncle Kentang berkata, bantahan penyeludupan masuk abu Chin Ping bukan kerana abu itu milik orang Cina atau milik kaum-kaum lain tetapi sebagai simbol semnangat patriotisme terhadap kecintaan kepada negara.

Dia juga sama sekali tidak bersetuju abu mayat ketua pengganas Parti Komunis Malaya itu di bawa masuk dan ditaburkan Malaysia. Menurutnya anggota PKM telah menyebabkan banyak nyawa terkorban termasuk nyawa rakyat biasa.

“Saya orang Cina. Saya tidak setuju abu Chin Peng di bawa masuk. Kerana ramai bukan sahaja pihak keselamatan terkorban, tetapi ramai rakyat sengsara. Ini bukan pasal abu Cina, Melayu atau India atau perkauman. Ia soal patriotisma negara,” kata Uncle Kentang.

Ketika rakyat Malaysia masih trauma dengan keganasan dan pembunuhan dilakukan oleh komunis, abu mendiang Chin Peng dibawa masuk tanpa kebenaran pihak berkuasa negara.

Abu Ching Peng telah ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.