“TMJ Bukan Tuhan. Dia Tidak Faham Asas Agama Secara Sempurna. Sindirannya di Laman Sosial Terlalu Angkuh dan Kurang Ajar,”

908

KUALA LUMPUR: Tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memuat naik kenyataan berunsur sindiran di laman sosialnya menjadikan rakyat hilang hormat kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, walaupun tidak dinamakan, sindiran itu seolah-olah sudah jelas diketahui ditujukan kepada individu tertentu.

“Seandainya betul tafsiran dan anggaran saya, memang tindakan TMJ ini amat keterlaluan.

“Mungkin kerana ilmu agamanya yang cetek atau disebabkan oleh sifat angkuhnya yang keterlaluan.

“TMJ ini tidak faham asas agama dan dia tidak berpegang kepada qada dan qadar. Ajal, maut dan jodoh serta pelbagai ketentuan lain ditentukan oleh Allah SWT. Bukan mengikut kemahuan manusia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Khairuddin berkata demikian ketika merujuk satu catatan di laman sosial TMJ baru-baru ini, yang kemudian difahamkan telah dipadam kapsyennya dan hanya memaparkan gambar.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, TMJ juga hanya manusia biasa walaupun menjawat jawatan tinggi seperti yang dipegangnya hari ini.

“Dia hanya manusia biasa macam kita juga, cuma dilahirkan di istana sahaja. Mana dia tahu siapa yang bakal menghembuskan nafas yang terakhir terlebih dahulu? Kadang-kala yang muda kembali ke rahmatullah terlebih dahulu dari yang tua.

“Kemungkinan, dia pun boleh tiba-tiba sedar sudah berada di dalam liang lahad. Ini ketentuan Yang Maha Esa.

“TMJ bukan tuhan. Dia tidak faham asas agama secara sempurna. Kenyataan serta sindirannya dalam laman sosial peribadinya terlalu angkuh dan kurang ajar,” tegasnya.

Khairuddin turut berharap Mufti Johor dapat memberi teguran kepada TMJ.

“Kebiadabannya tidak menunjukkan TMJ ini ada ciri nilai-nilai kemelayuan langsung.

“Kita hidup di dunia ini jangan takut sesama manusia. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

“Apa saja status seseorang itu, sekiranya dia buat salah, sudah menjadi tanggungjawab kita khususnya para ulama untuk membuat teguran secara ikhlas,” katanya.