Toksik Pasir Gudang: Polis Nafi Kenyataan Menteri?

513

Susulan kes pencemaran toksik yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menjadi topik hangat sepanjang minggu ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pada Rabu melalui kenyataan akhbarnya memaklumkan bahawa suspek yang terlibat mengakibatkan pencemaran sisa toksik akan didakwa di mahkamah pada keesokan harinya.

Roketkini dipetik;

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengambil tindakan pantas menangani kes pembuangan sisa kimia berbahaya secara haram di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Dalam sidang media di Pasir Gudang hari ini, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mendakwa pengusaha kilang tayar kitar semula yang merupakan salah seorang dari tiga suspek utama kes tersebut esok.

“Kertas siasatan berhubung perkara itu sudah disiapkan JAS negeri dan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian serta pertimbangan dan mendapatkan izin mendakwa.

“Kertas pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM500,000,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Bee Yin dalam pada itu berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap dalang kes pencemaran tersebut.

“Peguam Negara bersetuju kerana menganggap kesalahan ini amat berat dan memudaratkan nyawa awam jadi antara yang dilihat termasuk mendakwa dalang terbabit atas beberapa kesalahan mengikut Kanun Keseksaan selain Akta Kualiti Alam Sekitar, ” katanya.

Tambahnya, JAS sudah mengerahkan 100 pegawainya termasuk alat pengesan gas ke kawasan yang terjejas sejak Ahad lalu, bagi mengelak pencemaran terus merebak.

“Cuaca hujan menyebabkan sisa kimia di sungai mendap ke tanah sebelum penguapan gas kimia berkenaan ke udara antara faktor menyebabkan kawasan lebih jauh dari lokasi pencemaran turut terjejas.

“Kita sedang memasang alat pengesan gas di beberapa kawasan berisiko bagi memantau bacaan udara tercemar dan pemantauan sedang berjalan dan akan dimaklumkan selepas disahkan.

“Kontraktor dilantik sudah memulakan tugas membersihkan sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim bermula semalam dan pegawai JAS memantau dekat kerja pembersihan dilakukan,” katanya. – Roketkini.com

Walau bagaimanapun, selepas sehari berlalu, didapati pendakwaan seperti yang dinyatakan Bee Yin tidak berlaku dan menimbulkan tanda tanya dikalangan pengamal media yang mengikuti rapat berkaitan kes ini.

Lebih mengejutkan, hari ini Ketua Polis Negara pula tampil menafikan ada tangkapan dilakukan berhubung kes tersebut.

Malaysiakini melaporkan;

Polis menafikan terdapat individu yang ditahan berhubung kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Fuzi Harun berkata setakat ini sebanyak 51 laporan polis telah dibuat dan siasatan adalah mengikut Seksyen 278 dan 284.

“Setakat ini tiada tangkapan. Saya dimaklumkan oleh pihak ketua polis Johor sebentar tadi tapi siasatan sedang berjalan,” katanya pada sidang media selepas serah terima tugas timbalan ketua polis negara dan naib pengerusi Perkep Malaysia di Pulapol, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai status tangkapan yang dibuat dalam pencemaran pembuangan sisa toksik itu. 

“Itu kita tak sebut. Ada pihak lain yang sebut tapi pihak PDRM tiada tangkapan,” katanya.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata pemilik syarikat tayar kitar semula adalah antara tiga suspek yang terlibat dalam pencemaran tersebut dan kertas siasatan telah siap serta dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya.

Pada masa sama, Fuzi berkata beliau juga tidak dimaklumkan syarikat yang terlibat dalam pembuangan sisa bahan kimia yang dipercayai mula mengalir dari Sungai Klang itu, serta bilangan individu yang telah dipanggil untuk siasatan.

“Saya pun tak dimaklumkan syarikat mana sebenarnya yang terlibat. Tapi usaha untuk mengesan mereka yang bertanggungjawa ini sedang kita perhebatkan pada ketika ini dengan kerjasama lain-lain agensi kerajaan yang telribat, khususnya kementerian alam sekitar.

“Saya pun tak dimaklumkan jumlah berapa yang diambil kenyataan tapi siasatan sedang diperhebatkan,” katanya. 

Menurutnya, jenis bahan kimia yang mencemari Sungai Kim Kim itu masih tidak dapat disahkan, memandangkan jabatan bahan kimia masih membuat analisis.

Kes pencemaran bahan kimia yang berlarutan lebih dari seminggu itu menyaksikan jumlah kes baru meningkat apabila pelajar dan murid di beberapa sekolah di sekitar kawasan itu mendapatkan rawatan kerana mengalami sejak nafas, loya dan muntah.

Berdasarkan kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Yeo Bee Yin harus tampil menjelaskan kenyataan yang pernah dibuatnya sebelum ini.

Bagaimana pendakwaan boleh dijalankan sedangkan pihak polis mengesahkan tiada tangkapan dilakukan?