Tuduh Kereta Dibakar Pengganas: Ketua Polis Perlis Nafikan Teori Asri

492

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin awal hari ini menggesa agar pihak berkuasa mencari individu yang terlibat menyebabkan kereta rasminya terbakar sambil menggelarkan pelaku sebagai ‘pengganas’.

Menerusi satu kenyataan di Facebook pada Sabtu, Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Dr Maza berkata, dua individu dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung insiden kereta rasminya jenis Honda Accord dibakar.

“Setelah saya melihat CCTV, maka saya menyimpulkan ini merupakan perbuatan pengganas yang boleh mengancam nyawa. Marilah kita berdoa agar dua individu yang disebutkan oleh Ketua Polis Perlis yang dirakam oleh CCTV itu segera ditangkap.

“Sekalipun jika selepas ini saya akan menaiki Kancil kerana kereta dibakar, tapi inyaAllah semoga Allah SWT bantu, semangat saya tetap singa,” kata Mohd Asri yang merujuk kepada kereta Perodua Kancil.

KETUA POLIS PERLIS NAFIKAN DAKWAAN ASRI.

Walau bagaimanapun, petang ini Polis menafikan kejadian kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dibakar semalam ada kaitan dengan aktiviti atau tindakan pengganas.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata kejadian di kediaman Mohd Asri awal pagi semalam tidak menunjukkan tanda-tanda dilakukan oleh pengganas.

“Tidak betul untuk kita katakan kejadian itu membabitkan mana-mana kumpulan pengganas kerana ia masih dalam siasatan pihak kami.

“Setakat ini motif kejadian lebih menjurus pada dendam atau berunsur peribadi sehingga berlakunya kejadian khianat berkaitan api terhadap Datuk Mohd Asri.

“Namun kita masih menyiasat dengan teliti akan perkara ini dan saya minta semua pihak tidak terlalu ghairah mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini, Mohd Asri menerusi satu kenyataan di media sosial Facebook mendakwa kejadian di kediamannya pada kira-kira jam 6 pagi semalam dilakukan oleh pengganas.

Mohd Asri mendakwa demikian selepas dia melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pembabitan dua suspek dan berharap kedua -dua mereka diberkas dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut mengenai dua suspek yang sedang diburu oleh polis bagi membantu siasatan, Noor Mushar berkata pihaknya masih mencari kedua-dua mereka.

“Setakat ini mereka belum ditangkap lagi, tetapi saya akan maklumkan kepada sejurus kita berjaya menahan suspek.

“Cuma sekali lagi saya minta orang ramai, tidak terlalu taksub mengulas perkara ini sehingga mencetuskan kebimbangan orang awam khususnya di negeri ini,” katanya.