Tuduhan Rogol Amah : Paul Yong Mengaku Tidak Bersalah

512

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia pada bulan lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Choo Kiong didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebat.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar, di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Azhar turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.

Tertuduh diwakili barisan peguam, Leong Cheok Keng, RSN Rayer, Ram Karpal Singh dan Farhan Sapian.