Tulisan Jawi: “Ultra Kiasu” Sengaja Berlagak Bodoh

472

KENYATAAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun (PKR), Goh Choon Aik begitu naif mengenai isu seni khat dan tulisan jawi.

Goh berkata, kerajaan sewajarnya menumpukan usaha dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid SJKC.

“Sebagai pengerusi PIBG SJKC selama enam tahun, saya amat memahami kelemahan murid-murid Cina dalam bahasa Malaysia dan sering mencari jalan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Malaysia di SJKC.

“Namun demikian, saya berasa amat sedih kerana Kementerian Pendidikan bukan sahaja tidak mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan penggunaan dan penguasaan BM dalam kalangan murid-murid SJKC, tetapi memperkenalkan seni khat kepada budak-budak yang janggal terhadapnya,” kata Goh.

Persoalan saya, ADUN ini tahu tak apa yang dia cakap. Nak kata bodoh, rasa kasar. Tak kata bodoh, terasa pula kita bodoh.

Melayan ultra kiasu ini, kita jadi bodoh. Kalau saya ada kuasa, lama dah saya asimilasikan mereka, seperti yang dilakukan oleh kerajaan Thailand dan Indonesia. Terlalu memberi muka sangat, inilah jadinya.

Hei YB! Kerajaan telah cuba sedaya upaya sejak daripada dahulu untuk memandaikan penguasaan BM dalam kalangan pelajar SJKC. Tetapi malangnya, sentiasa ditentang oleh persatuan Cina seperti Dong Zong dan Jiao Zong.

Di sinilah kepandaian Cina dalam kuasa tawar-menawar. ‘Bargaining power’ kamu sangat tinggi kerana pemimpin Melayu yang terlalu kemarukkan kuasa, terpaksa tunduk.

Contoh pertama, tambahan masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) BM di SJKC, daripada 180 minit seminggu kepada 240 minit seminggu ditentang hebat oleh persatuan ultra kiasu itu.

Ada cadangan nak tambah kepada 270 minit disebabkan kerajaan menyedari akan kelemahan BM tahap tegar di SJKC, lagi ditentang. Usaha kerajaan gagal lagi.

Alasan ultra kiasu ini amat mudah dan langsung tidak masuk akal. Jika subjek BM ditambah, ia akan menjejaskan atau mengambil masa subjek lain yang diajar dalam bahasa Cina. Sudah tentu akan menjejaskan penguasaan bahasa Cina dalam kalangan murid-murid Cina.

Ultra kiasu langsung tidak mahu bertolak ansur dalam segala usaha yang akan menjejaskan penguasaan kecinaannya. Isu khat jawi ini dianggap sebagai beban kerana akan menyusahkan murid-murid Cina. Tidak ada kompromi. Mereka mahu jadi secina-cinanya. Pemikiran ini amat bahaya, pemikiran komunis.

Contoh kedua, P&P subjek Sejarah di SJKC. Pada awal keputusan kerajaan dahulu, subjek sejarah akan diajar dalam BM di SK dan SJKC/T. Buku-buku teks telah pun dicetak. Malangnya, ditentang begitu hebat sekali lagi persatuan ultra kiasu ini. Sekali lagi usaha kerajaan gagal.

Alasan ultra kiasu, jika subjek sejarah diajar dalam BM, nanti murid-murid Cina akan terdedah kepada banyak masa dalam BM. Ini akan menyebabkan penguasaan bahasa Cina mereka terjejas.

Murid-murid SJKC tidak akan menjadi secina-cinanya. Akhirnya, kerajaan terpaksa tunduk. Subjek sejarah yang penuh jati diri yang sepatutnya diajar dalam BM terpaksa diajar dalam bahasa Cina.

Ketiga, penempatan guru-guru BM dan BI dalam kalangan bukan Cina (Melayu dan India) di SJKC. Persatuan Cina ultra kiasu ini mensyaratkan, guru-guru yang mengajar subjek ini mesti mendapat kredit mata pelajaran bahasa Cina dalam SPM, baharu layak masuk SJKC. Maknanya, guru-guru tersebut mesti datang daripada Sekolah Persendirian Cina atau Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina.

Kenapa? Jika guru yang mengajar BM dan BI tidak tahu bahasa Cina, maka akan menjadikan murid-murid SJKC terpinga-pinga ketika BM dan BI diajar. BM dan BI yang diajar tidak dapat diterjemahkan dalam bahasa Cina. Ultra kiasu mahukan setiap kali BM dan BI diajar, guru-guru tersebut mesti boleh terjemahkan dalam bahasa Cina. Pelikkan? Tetapi itulah yang berlaku.

Kenapa tidak boleh bersusah sedikit untuk menguasai bahasa negara, bukankah kita ini semua warganegara? Wajarkah hidup dalam negara majoriti Melayu, tidak boleh berbahasa Melayu yang menjadi bahasa negara? Tidakkah elok duduk di negara komunis China sahaja?

Pekerja Bangladesh yang ada berjuta di negara kita. Datang ke mari, sepatah haram BM dia tidak tahu. Kenapa dalam masa tidak sampai 6 bulan, mereka menjadi pandai BM.

Begitu juga pekerja Bangladesh yang tidak tahu sepatah haram bahasa Cina, bekerja dengan majikan Cina, tidak sampai 6 bulan pandai cakap Cina.
Kalau tidak percaya, pergilah lihat pekerja Bangladesh yang bekerja dengan tauke Cina. Fasih sungguh mereka berbahasa Cina. Saya tidak pasti, mereka ini diberi kebenaran bersolat atau tidak?

Maknanya, hendak seribu daya, tak nak seribu dalik. Ultra kiasu merasakan menguasai BM tidak ada apa nilai komersial. BM dan jawi ini macam ‘sial’ sahaja bagi mereka, sebab itu ia ditolak. Sebenarnya mereka telah menghina BM sebagai bahasa negara.

Malangnya, tiba-tiba dengan BM UEC yang begitu rendah nilainya, mereka desak kerajaan untuk mengiktiraf UEC dan membenarkan UEC memasuki Universiti Awam dan Perkhidmatan Awam. Adakah ini wajar? Kita terus kalah dan kalah kepada desakan dan tuntutan ultra kiasu. Hanya kerana kemarukkan undi dan kuasa.

Sedarlah rakyat Malaysia, kita sudah lama ditipu oleh ultra kiasu Cina ini. Sampai bila kita mahu ditipu. Cukup-cukuplah, bangunlah, janganlah disebabkan oleh politik, sehingga tergadai negara. Jangan disebabkan ghairah untuk mendapatkan kuasa, sehingga tenggelam jati diri negara dan matlamat pembinaan negara bangsa.

Kesimpulan, persatuan Cina di Malaysia ini tidak mahu orang Cina menjadi Cina pisang. Kuning diluar, putih di dalam. Mereka mahu orang Cina menjadi secina-cinanya, malah lebih Cina daripada orang Cina di negara komunis China. Proses pencinaan ini tidak boleh dibiarkan. Mereka akan menjadi komunis.

Kenapa tidak belajar daripada orang Cina di Indonesia dan di Thailand? Kerajaan dua negara ini memberi kata dua kepada orang Cina; “Putuskan hubungan kamu dengan negara asal komunis China jika mahu tinggal di sini”. “Asimilasi diri kamu, jangan ada lagi keinginan nak balik China”. Hidup mati kamu mesti di sini. Jadilah kamu orang Indonesia (meskipun kamu Cina) dan orang Siam (meskipun kamu Cina).

Ternyata, dalam membina negara tidak ada tolak ansur. Dua negara ini jauh di hadapan berbanding kita. Akhirnya, negara Indonesia dan Thailand berjaya. Orang Cina Indonesia tidak rasa diri mereka Cina. Semua orang Indonesia. Begitu jugalah juga dengan Cina Thailand, tidak terasa lagi mereka Cina. Semua jadi orang Siam.

Akhirnya, nama-nama seperti Chuan Lek Pai, Thaksin Shinawhatra, Ying Luck, semua keturunan Cina yang telah diasimilasikan menjadi Siam, diterima menjadi calon dan Perdana Menteri Thailand. Kepercayaan yang begitu tinggi orang Siam terhadap Cina yang telah disiamkan.

Begitu juga dengan nama Ahok atau nama Indonesianya Basuki Thahaja Purnama, keturunan Cina, diterima menjadi gabenor Jakarta suatu ketika dahulu sebelum beliau dipenjara kerana menghina Islam.

Persoalannya, kenapa puluhan juta orang Islam Indonesia boleh mengundi Ahok yang berketurunan Cina. Jawapannya, kerana Cina Ahok telah berasimilasi sehingga menjadi terlebih Indonesia, meskipun beragama Kristian. Dengar khabar dia dah masuk Islam di penjara, doakan.

Siapa yang berani menghina bangsa Indonesia dan bangsa Siam, mereka akan dipenjarakan. Tahniah Indonesia! Tahniah Thailand! Keputusan anda tepat. Anda telah tuai hasilnya hari ini.

Keputusan tegas yang anda telah buat telah menjadi mereka tidak kenal lagi diri mereka Cina. Itulah yang sepatutnya berlaku, kerana ‘pendatang’ seharusnya berasimilasi dengan pribumi. Ini tidak, terbalik, ‘pendatang’ mahukan pribumi berasimilasi dengan mereka.

Kita Malaysia bagaimana? Kita terlalu memberi muka. Akhirnya, kaduk naik junjung.

Kenapa tidak pernah bertegas atau sekurang-kurangnya tengok apa negara jiran buat dalam membina negara? Tepuk dada, tanya iman.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)