Tun M Hilang Keyakinan Terhadap Lim Guan Eng?

370

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta supaya meletak jawatan secara bermaruah berikutan keadaan ekonomi yang semakin merosot dengan setiap keputusan dilakukan olehnya tidak lebih daripada membawa ‘padah’ kepada negara.

Malah tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar Tun Daim Zainuddin ke China sekaligus memikul tanggungjawab berkait dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah satu contoh Guan Eng tidak di yakini kredibilitinya.

Tidak cukup dengan itu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 didapati seringkali mengeluarkan kenyataan melulu tanpa  kajian mendalam sehingga menyebabkan rama pelabur menjauhkan diri daripada melabur di negara ini.

Itu antara kegelisahan yang diluahkan oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berikutan ketidaktentuan ekonomi negara yang di uruskan oleh Guan Eng selaku Menteri Kewangan.

“Lebih baik Guan Eng selaku Menteri Kewangan meletak jawatan sahaja dan beri laluan kepada yang jauh lebih layak menerajui kerana keadaan ekonomi yang sarat dengan kos sara hidup serta Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) meningkat mendadak.

“Macam-macam berlaku pada masa ini, dalam tempoh 10 bulan ini. Seperti harga saham jatuh teruk, IHP meningkat, kos sara hidup yang sebelum ini dijanjikan akan turun kini tidak langsung di pedulikan sebaliknya banyak menuding jari salahkan kerajaan terdahulu sahaja.

“Bayangkan, Tun Mahathir sendiri tidak yakin dengan keupayaan beliau sehingga menghantar Tun Daim ke China bagi selesai isu ECRL walaupun ini adalah kerja Guan Eng selaku Menteri Kewangan.

“Guan Eng juga suka sangat keluarkan kenyataan tidak membantu dan lebih berbentuk emosional sehingga menjejaskan dan memudaratkan rakyat serta ekonomi negara. Patutnya beliau fokus pada ekonomi bukan takutkan pelabur dengan pelbagai jenis dakwaan dan teori.

“Pada saya secara iklhas saya sarankan Guan Eng untuk meletakkan jawatan jika beliau tidak tahu menguruskan ekonomi negara kerana sekarang keadaan semakin buruk. Ini akan menjejaskan hidup rakyat apabila ekonomi teruk, kos sara hidup meningkat dan mereka semakin tertekan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Gerakan di sini hari ini.

Jelas Dominic lagi, bukan sahaja Guan Eng tetapi juga menteri serta pimpinan lain juga sebenarnya perlu lebih berhati-hati serta fikir dengan lebih teliti sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan sesuka hati seolah-olah mereka masih lagi pembangkang.

Kata Dominic, tindakan seperti itu sebenarnya merugikan negara selain daripada membuat pengumuman polisi yang tidak membantu mengurangkan bebanan rakyat yang semakin terhimpit.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan ini sebenarnya sibuk menukar nama inisiatif serta polisi oleh kerajaan terdahulu. Sebenarnya ada apa dengan apa? Apa yang penting sangat sehingga perlu melakukan penjenamaan semula?

“Seperti kebudak-budakan sebenarnya kerana kerajaan kini mahu ‘membunuh’ legasi kerajaan terdahulu, maka begitu banyak nama ditukar. Sebenarnya apakah jenis kebaikan yang anda dapat dengan melakukan sedemikian?” soalnya.