Tun M Tidak Dipecat, Sebaliknya…

550

TUN DR MAHATHIR BUKAN DIPECAT TETAPI TERHENTI MENJADI AHLI SECARA AUTOMATIK

Perlu dijelaskan bahawa terdapat silap faham yang besar di kalangan masyarakat, termasuk di kalangan portal-portal berita berita tertentu, yang beranggapan kononnya Tun Dr Mahathir, Dato’ Seri Utama Mukhriz, Dato’ Wira Amiruddin, Dr Maszlee dan Syed Saddiq telah dipecat atau diberhentikan keahlian.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah terkeluarnya kesemua mereka dari BERSATU adalah kerana perbuatan mereka sendiri yang sengaja memilih untuk menyertai Ahli-Ahli Parlimen dari parti-parti pembangkang lain duduk di blok bukan penyokong kerajaan semasa sidang Parlimen berlangsung pada 18 Mei lalu.

Perbuatan kelima-lima mereka ini secara jelas merupakan pelanggaran kepada Perlembagaan BERSATU khususnya Fasal 10.2.3 yang memperuntukkan bahawa keahlian mana-mana ahli BERSATU yang menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini adalah terhenti secara serta-merta.

Perlu diingatkan bahawa nasib yang menimpa mereka adalah bukan kerana mereka dikenakan tindakan disiplin di bawah Fasal 23 Perlembagaan BERSATU, tetapi adalah kerana mereka melakukan tindakan yang menyebabkan keahlian mereka terhenti secara serta-merta di bawah Fasal 10.2 Perlembagaan BERSATU.

Di bawah Fasal 23.1 Perlembagaan BERSATU, terdapat enam asas yang akan menyebabkan seseorang ahli boleh dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin, sama ada dengan diberi amaran; digantung keahlian; dilucutkan jawatan; atau dipecat daripada parti.

Enam asas ini adalah:
a) Tidak patuh kepada Perlembagaan BERSATU dan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli Parti;
b) Tidak mengikut perintah-perintah parti;
c) Tidak menjalankan dasar-dasar parti;
d) Tidak patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti termasuk keputusan Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan;
e) Tidak menjaga rahsia-rahsia parti; dan
f) Tidak memelihara nama baik dan maruah parti.

Sebaliknya, di bawah Fasal 10.2 Perlembagaan BERSATU, terdapat tujuh asas yang akan menyebabkan keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta.

Tujuh asas ini adalah:
a) Ahli berkenaan meminta untuk berhenti menurut Fasal 10.1;
b) Mengisytiharkan keluar daripada parti;
c) Menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini;
d) Bertanding dalam pilihan raya tanpa kebenaran parti BERSATU atau sebagai calon bebas atau calon mana-mana parti atau bertindak sebagai pencadang/penyokong dalam kertas penamaan calon bebas atau calon parti lawan;
e) Dipecat setelah melalui proses dan tatacara disiplin parti menurut Fasal 23;
f). Seseorang ahli membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah; dan
g) Hilang kewarganegaraannya.

Nasib yang menimpa mereka adalah bukan kerana mereka melakukan mana-mana satu daripada perkara yang akan menyebabkan mereka boleh dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin, tetapi adalah kerana mereka melakukan perkara yang menyebabkan keahlian mereka terhenti secara serta-merta.

Sebagai kesimpulannya, nasib yang menimpa mereka adalah bukan berpunca daripada perbuatan orang lain ke atas diri mereka, tetapi adalah kerana mereka sendiri yang dengan sukarela memilih untuk melakukan perbuatan yang menyebabkan keahlian mereka di dalam BERSATU terhenti secara automatik.

Oleh itu, tidak sewajarnyalah bagi mereka atau sesiapa sahaja untuk membuat apa-apa tuduhan atau meletakkan kesalahan ke atas mana-mana orang lain, khususnya ke atas Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden BERSATU, di atas nasib yang menimpa diri mereka kerana ia adalah berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

Tidak berbangkit masalah yang dikemukakan oleh Dato’ Marzuki Yahaya, pejabat Tun Dr Mahathir dan pihak-pihak lain bahawa ia tidak dilakukan mengikut konvensyen parti atau kononnya ia perlu dibuat oleh Setiausaha Agung serta perlu dibawa ke Lembaga Disiplin atau ke Majlis Pimpinan Tertinggi kerana ini bukanlah pemecatan.

Sesungguhnya tiada siapa pun di dalam BERSATU, walaupun ia adalah pengasas BERSATU, yang lebih tinggi daripada perlembagaannya.

*Dipetik dari Facebook Kamarul Yusoff.