[VIDEO] Tunggang Y-Suku Ragut Wanita, 2 Lelaki Diburu Polis

284

TAPAH – Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes meragut beg tangan seorang wanita di Pekan Sungkai yang rakaman kejadian itu tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengesan dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y150.

Katanya, kedua-dua mereka yang dipercayai rakyat tempatan itu melarikan diri sejurus meragut beg mangsa yang diletakkan di bahagian penumpang hadapan kereta.

“Kejadian pada pukul 5.10 petang itu berlaku ketika mangsa sedang menghidupkan enjin keretanya sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang meluru membuka pintu kereta bahagian penumpang hadapan.

“Lelaki itu kemudiannya mengambil beg tangan mangsa dan melarikan diri dengan seorang lagi lelaki menggunakan motosikal berwarna merah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam kejadian tersebut, wanita berusia 50 tahun itu kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad kredit, wang tunai RM400 dan telefon bimbit.

Ujarnya, hasil siasatan di lokasi kejadian menemukan kamera litar tertutup (CCTV) yang berjaya merakamkan kejadian berkenaan.

“Setakat ini tiada saksi yang tampil memberikan keterangan dan siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Video berdurasi 1.23 minit itu menunjukkan dua lelaki bermotosikal telah berhenti di bahagian belakang kereta mangsa sebelum bergerak dan berhenti di belakang kereta dengan seorang daripada suspek turun dari motosikal dan menuju ke arah bahagian penumpang hadapan.