Ugut OCPD : Pemimpin DAP Tampil Mohon Maaf

424

Pemimpin DAP bahagian Jerantut, Loo Why Leong yang ditangkap kerana menghantar mesej berbaur ugutan kepada ketua polis daerah pada Ahad lalu tampil untuk menjernihkan keadaan.

Loo dalam suatu kenyataan hari ini mengakui menghantar mesej kontroversi tersebut kepada OCPD Jerantut Mazlan Hassan pada 17 Mei lalu.

Katanya, mesej tersebut dihantar kerana dirinya dan rakan ahli DAP telah “ditangkap secara salah” sehari sebelum itu kerana dituduh terlibat dalam penyeludupan rokok yang ditemui dalam sebuah kereta.

Loo berkata episod itu berlaku pada Khamis lalu apabila dia pergi ke kedai rakannya, selepas menerima panggilan telefon daripada isteri kawannya itu mengenai penemuan rokok seludup berkenaan.

Jelasnya, dia cuba membantu rakannya yang menafikan bukan pemilik kereta yang ditemukan rokok seludup itu. Kereta berkenaan, kata Loo lagi diletakkan di belakang jalan di kedai rakannya itu.

Namun, menurutnya, bantahan mereka tidak diendahkan polis dan kedua-dua mereka ditangkap.

Loo juga mendakwa polis melayan rakannya secara kasar ketika soal siasat dan bertindak seolah-olah mereka penjahat.

Selepas itu kedua-dua mereka ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan.

Loo berkata dia kemudiannya menghubungi Mazlan untuk meminta bertemu dengannya pada pagi 17 Mei, tetapi pegawai itu tidak hadir.

Pada petang hari yang sama, katanya, pegawai polis yang dihantar oleh mahkamah muncul dan memberitahu mahu menahan reman mereka selama empat hari.

‘Tak akan aman’

Bagaimanapun, Loo berkata kedua-dua mereka dibebaskan sekitar 3 petang pada hari itu selepas menjelaskan hal tersebut kepada pegawai mahkamah.

Selanjutnya, pada petang itu, jelas Loo lagi, dia menjadi marah dan mengunakan kata-kata yang tidak sewajarnya ketika menghantar mesej teks kepada Mazlan, berkata: “Sesiapa nak lawan PH, masa akan datang dia akan tak aman.”

“Saya menghantar mesej teks melalui WhatsApp berharap moga-moga beliau (Mazlan) dan pegawai polis akan bertindak berdasarkan apa yang dikatakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, supaya setia kepada kerajaan baru.

“Bagaimanapun, pada pagi hari berikutnya 18 Mei, saya risau Mazlan mungkin salah faham maksud saya kerana pemilihan kata-kata saya yang tidak wajar,” katanya.

Loo berkata kenyataannya bukan bersifat peribadi kepada OCPD itu.

“Saya kemudian menghantar satu lagi mesej memohon maaf dan menarik semula kenyataan saya yang tidak wajar itu. Saya harap beliau akan memaafkan saya.

“Saya, Loo Why Leong, seorang ahli perniagaan yang sah. Saya akan bertegas apabila rakyat memerlukan bantuan saya,” jelasnya lagi.