“UMNO Mahu Kekal Sebagai Parti Politik Atau Mahu Jadi Kumpulan Pengganas?” Soal Ketua Pemuda DAP

499

Dari facebook Howard Lee Chuan How;

UMNO: kuasa politik atau kumpulan pengganas?

Ketika rakyat Malaysia masih berkabung di atas pemergian adik Haziq dan 50 mangsa keganasan di Christchurch dan bersiap sedia untuk perarakan demi kedamaian dan keamanan di Dataran Merdeka hari ini, UMNO masih lagi sibuk bersikap ganas dan mengasari para mahasiswa kita dan wartawan yang menjalankan tugas. Saya hairan, mengapa kepimpinan UMNO anti dan benci sangat dengan anak muda kita dan kerap kali mengasari mereka?

Penggunaan gasakan ganas dan ancaman fizikal sememangnya merupakan SOP (Standard Operating Procedure) bagi UMNO dan ramai penyokongnya.

Segenap lapisan masyarakat Malaysia telah bangkit menolak tindakan ganas dan melampau oleh pemimpin UMNO dan penyokong Najib. Ia termasuklah seorang ahli parlimen dari UMNO sendiri walaupun tidak berjawatan di dalam parti. Namun Lokman Adam dan Najib tetap keras kepala enggan memohon maaf, malah masih mempertahankan tindakan yang mustahil dipertahankan (defending the indefensible). Satu lagi bukti Najib, UMNO dan penyokong mereka sudah hilang akal untuk membezakan perkara yang baik dari buruk.

Ketika negara lain menentang keganasan dengan tanda-tanda dan tindakan-tindakan hormat, cinta dan setiakawan, UMNO tetap kekal dengan perangai ‘tidak tahu malu’ nya.

DAPSY bersolidariti bersama beberapa orang mahasiswa dan wartawan yang telah dikasari dan diancam. DAPSY juga turut mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan ganas, lagi-lagilah terhadap mahasiswa dan wartawan. Tetapi sejarah membuktikan pemimpin UMNO dan pengikutnya tidak pernah faham erti taubat.

Tempoh hari, EXCO Pemuda UMNO Papagomo mengasari Menteri Belia dan Sukan.

Kemudian bekas Ketua Pemuda UMNO Razlan Rafii pula mengancam untuk ‘menembak’ lawan politik mereka.

Kelmarin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Lokman Adam membelasah mahasiswa dan wartawan.

Saya bukan hanya cakap kosong sahaja, saya sendiri pernah dikasari oleh jentera UMNO pada PRK Kuala Kangsar dua tahun yang lalu.

Rasanya kita sudah boleh lihat corak keganasan yang ditunjukkan oleh UMNO. Persoalannya: adakah UMNO hendak kekal menjadi parti politik atau mahu jadi kumpulan pengganas?

Orang lain pun berbalah politik juga, orang lain pun pernah kalah pilihan raya juga, tetapi kenapa UMNO sengaja pilih keganasan?

YB Howard Lee Chuan How
Ketua DAPSY Kebangsaan
EXCO Kerajaan Negeri Perak