Umrah Sajat : Menteri Tunggu Tindakan SKMM Sebelum Fikir Langkah Seterusnya

233

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof masih menunggu tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Albayt Travel (M) Sdn Bhd sebelum memikirkan langkah seterusnya termasuk berjumpa dengan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

“Sehingga semua tindakan SKMM dan agensi pelancongan itu jelas dan nyata, barulah saya akan fikirkan langkah berikutnya seperti soalan yang diajukan,” katanya merujuk kepada soalan pemberita sama ada beliau akan bertemu Muhammad Sajjad berhubung perilakunya di Makkah selepas usahawan itu pulang ke tanah air nanti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan 360 botol cecair pembersih tangan kepada 18 masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.

Mujahid berkata Muhammad Sajjad dan semua jemaah umrah dan haji termasuk agensi pelancongan yang menguruskan jemaah seharusnya patuh dan menghormati segala undang-undang kerajaan Arab Saudi ketika berada di Tanah Suci.

“Di Arab Saudi, peraturan bagi lelaki berpakaian wanita ini agak jelas dan ketat. Maka dia perlu hormatinya,” katanya.

Kelmarin, Mujahid dalam kenyataannya berkata beliau telah mengadakan pertemuan bersama SKMM supaya tindakan segera dapat diambil ekoran pelbagai video dan gambar yang dimuat naik Muhammad Sajjad, yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika menunaikan umrah tular di media sosial.

Mujahid turut mengadakan pertemuan bersama agensi pelancongan umrah, Albayt Travel, yang membawa Muhammad Sajjad dan keluarganya ke Tanah Suci, bagi mengetahui situasi sebenar di Makkah.

Sementara itu, di Putrajaya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata agensi pelancongan yang menguruskan umrah pengusaha kosmetik itu akan dipanggil tidak lama lagi.

Beliau berkata pihaknya akan berhubung dengan Albayt Travel untuk memberi nasihat dan amaran supaya kejadian membabitkan Muhammad Sajjad di Tanah Suci itu tidak berulang.

“Kami akan menasihatkan agensi pelancongan ini jika membawa jemaah ke Tanah Suci sama ada haji atau umrah mereka perlu lebih teliti dengan orang yang mereka bawa.

“Pihak agensi bertanggungjawab mengawal kumpulan yang dibawa termasuk mematuhi undang-undang negara yang dilawati bagi menjaga nama baik dan imej negara.

Mohamaddin terdahulu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan yang membincangkan rangka dan strategi pemulihan pelancongan negara akibat krisis 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) yang telah memberi kesan kepada industri pelancongan global. — Bernama