Unit Di Taman Manggis Sebenarnya Adalah Gantian Kepada Rumah Yang Telah Dirobohkan

254

GEORGETOWN: Seorang penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini, menafikan dakwaan dia tidak layak mendiami rumah berkenaan kerana status kedudukan kewangannya seperti yang tular di media sosial.

Suri rumah, Khalidah Nazri Ahmad, berkata dia mendiami rumah berkenaan selepas kerajaan negeri terdahulu menawarkan unit terbabit kepadanya sebagai pampasan bagi kediamannya yang dirobohkan sebelum ini.

“Alhamdulillah kalau saya kaya, tetapi saya tidak pernah minta rumah PPR sepanjang hayat. Saya diberikan seunit di PPR Taman Manggis ini sebagai gantian kepada rumah saya di Hilir Sungai Pinang di sini, yang dirobohkan sebelum ini.

“Saya tahu kedudukan saya bagaimana, tetapi dalam hal ini hanya saya dan Balkees K M Mohamed Hussan, 64, yang diberikan seunit di PPR Taman Manggis sebagai gantian kepada rumah kami yang dirobohkan dahulu.

“Malah, saya tetap membayar sewa dan tiada tunggakan direkodkan sepanjang saya menetap di sini, sejak 2006. Bagaimanapun, kerajaan negeri masih usir saya dengan alasan mempunyai sebuah lagi rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kisah Khalidah, 63, yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa, termasuklah mampu membeli tiket penerbangan kelas perniagaan dan memiliki pelbagai barangan perhiasan mengundang pelbagai reaksi selepas ia tular di media sosial, sejak malam semalam.

Difahamkan, laman Facebook milik Khalidah juga dinyahaktifkan ekoran kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Khalidah berkata, pihaknya tidak terkesan dengan penularan kisah peribadinya di laman sosial itu.

“Saya sikit pun tidak terasa tetapi anda semua tanggunglah dosa kerana memfitnah dan saya tak akan maafkan pihak yang menyebarkan perkara tidak sahih ini,” katanya.