Usaha Pembinaan Malaysia Baharu Terbantut Akibat Penyebaran Video Ranjang Lelaki Iras Menteri – Zuraida

303

PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin permainan kotor berikutan penyebaran klip video intim hubungan sejenis seorang menteri di media sosial semalam sangat menjengkelkan dan membantutkan usaha pembinaan semula Malaysia Baharu.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, dia turut berasa kesal dan sedih atas sebaran meluas klip video lucah yang mengaitkan seorang pemimpin tertinggi parti PKR.

“Pada saat rakyat dan kerajaan sedang bergelut bagi memulihkan keadaan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat, permainan politik kotor ini sangat menjengkelkan dan membantutkan usaha pembinaan semula Malaysia Baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuraida berkata, dia juga ingin menyatakan bahawa keyakinannya terhadap kredibiliti, integriti dan personaliti pimpinan yang difitnah tersebut adalah tanpa berbelah bahagi.

“Keyakinan saya ini adalah berdasarkan latar belakang penuduh yang sangat meragukan dan diketahui mempunyai hubungan baik dengan pihak pembangkang.

“Sebarang konspirasi politik bagi membunuh karakter seperti ini harus dihentikan serta merta dan saya amat berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan serta menghadapkan pesalah ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kontroversi video intim sejenis yang kini tular dan dikaitkan dengan seorang menteri kanan.

Malah, kontroversi video seks itu semakin rumit selepas seorang lelaki awal pagi ini membuat pengakuan bersumpah merupakan individu bersama menteri kanan yang dikaitkan di dalam video berkenaan.

Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz, lelaki itu mendakwa video tersebut dirakam tanpa kebenarannya pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.