“Video Anak Bulu-bulu Bukan Idea Saya, Saya Cuma Ikut Skrip”, kata Streram

760

SEREMBAN – “Rakaman video itu bukan idea saya. Saya cuma ikut skrip yang diberikan kepada saya”

Itu penjelasan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram berhubung rakaman video ‘anak bulu-bulu’ yang tular di media sosial semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Menurutnya, jentera kempen PH yang menyediakan skrip rakaman video tersebut dan antara skrip yang terkandung mengehendaki beliau menyebut dua ekor kucingnya sebagai ‘anak bulu-bulu’.

“Mereka beritahu orang kata saya serius. Jadi mereka mahu buat macam video santai untuk saya. Mahu orang lain tahu saya pun boleh santai.

“Jentera kempen PH yang sediakan skrip untuk saya. Saya tidak pasti sama ada video ini backfire kepada kempen saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Video kempen PH bagi PRK DUN Rantau yang tular itu memaparkan Streram merujuk dua kucing peliharaannya diberi nama Shanti dan Krishna sebagai ‘anak bulu-bulu’.

Gelagat Streram dalam rakaman video itu turut menjadi bahan sindiran netizen apabila beliau memanggil dua anak perempuannya sebagai ‘anak manusia’.

Sementara itu, Streram mendakwa, beliau dimaklumkan antara faktor beliau tewas dalam PRK DUN Rantau kerana wujud unsur rasuah ke atas pengundi.

Beliau seterusnya mendakwa kempen perkauman oleh Barisan Nasional (BN) turut menyumbang kepada kekalahannya selain faktor tidak ramai pengundi Cina keluar mengundi.

“Saya telah pulang ke rumah saya di Klang, Selangor untuk berehat sebelum kembali bertugas sebagai Penyelaras DUN Rantau PH.

“Berhubung kedudukan saya di DUN Rantau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau tidak tahu punca insiden pergaduhan yang berlaku di pekarangan Bilik Gerakan Utama PH di Bandar Ekar, Rantau malam tadi.

Katanya, beliau tidak mengenali pihak yang terlibat dalam pergaduhan itu, namun menegaskan mereka bukan penduduk Rantau.