[VIDEO] Anggap Kes Selesai Selepas ‘Lebai’ Sembah Berhala Mohon Maaf

511

PARIT BUNTAR: Lelaki berpakaian seperti ‘lebai’ dan melakukan upacara sembahyang menyembah berhala seperti dalam rakaman video yang viral, hari ini ini membuat permohonan maaf secara terbuka.

Lim Lip Kok, 43, yang mencetuskan kemarahan warga media sosial terutama umat Islam, ditahan polis Isnin lalu sebelum dibebaskan keesokannya berikutan kes itu akan diambil alih oleh Polis Bukit Aman.

Lip Kok, yang hadir pada sidang media hari ini, membuat permohonan maaf melalui jurubahasa yang juga Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bagan Selatan, Cheah Han Boon.

Menurutnya, dia mengakui menyesal dengan tindakannya itu dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya yang menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Katanya, dia langsung tidak mengetahui pakaian yang dipakainya itu boleh menimbulkan kemarahan umat Islam, malah tidak menyedari perbuatannya itu dirakam individu yang tidak dikenali.

“Sidang media ini dibuat untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam dan saya tidak berniat menyinggung perasaan mereka.

“Saya menyesal dengan tindakan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya,” katanya pada sidang media di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Piandang, di sini.

Hadir sama, Pengerusi MPKK Sungai Labu Atas, Mohd Suhimi Majid Azizi; Biro Agama Masjid Tanjung Piandang, Mohd Yusop Budin dan Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean.

Sementara itu, Mohd Yusop berkata dengan permohonan maaf yang dibuat Lip Kok, pihaknya menganggap kes itu selesai, namun menasihati semua pihak supaya tidak melakukan perkara sama kerana ia menyentuh sensitiviti agama.