KUCHING: Sebuah ambulans terbalik akibat dirempuh kereta jenis Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini hari ini.

Difahamkan, ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar seorang wanita mengandung dari Kota Samarahan ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Setibanya di persimpangan lampu isyarat tersebut, sebuah SUV yang bergerak dari Jalan Green dikatakan tidak sempat berhenti lalu merempuh bahagian tepi ambulan tersebut sehingga menyebabkan ia terbalik,” kata sumber.

Wanita mengandung berusia 40an berasal dari Kampung Nakong, Samarahan bersama pemandu dan penumpang ambulans kemudian dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan.

Sumber memberitahu kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Manakala wanita mengandung dirujuk ke Zon Merah Unit Kecemasan HUS untuk pemeriksaan lanjut.