Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Michael Chiah ditahan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, pihaknya turut menahan dua individu yang terlibat dalam pertikaman lidah dengan lelaki berkenaan seperti yang dipaparkan melalui rakaman video yang tular di laman sosial, semalam.

Menurutnya, pemilik akaun Facebook berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk siasatan lanjut manakala dua individu lagi ditahan di IPD Kuantan untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan selepas pemilik Facebook berkenaan yang juga seorang peniaga berusia 45 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, malam tadi.

“Penahanan tiga individu itu susulan tindakan pemilik Facebook ini mengeluarkan komen yang tidak sepatutnya dan berbaur penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati netizen,” katanya.

Semalam, posting dimuat naik pemilik Facebook terbabit menimbulkan rasa tidak puas hati netizen berikutan berbaur penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kecaman diterima bukan hanya melalui komen malah turut tersebar rakaman video memaparkan dua individu tampil berdepan lelaki tersebut di hadapan kedai dipercayai miliknya berhampiran Kuantan Plaza di sini.

Video berdurasi 1.37 minit itu menyaksikan berlaku pertikaman lidah dua individu terbabit yang ternyata tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik kedai, Michael Cheah.