[VIDEO] Najib Khianat, Sabotaj Husni?

658

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah dalam perbicaraan rasuah dan pecah amanah Najib Razak hari ini mendakwa bekas perdana menteri itu merancang dakwaan gangguan seksual dan rasuah terhadapnya, selepas beliau meletak jawatan pada 2016.

Husni yang merupakan saksi pendakwaan ke-56 dalam perbicaraan pemindahan wang dikaitkan kepada SRC International Sdn Bhd, menjawab soalan dikemukakan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Husni berkata, beliau meletak jawatan daripada Kabinet atas kehendak sendiri pada Jun 2016, tetapi bercakap kira-kira 30 minit mengenai masa depan negara dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober 2018 atas kapasiti ahli Parlimen Tambun.

Shafee kemudian bertanya Husni sama ada beliau bercakap di Dewan Rakyat kerana beliau dijadikan mangsa.

Shafee: Adakah anda marah ada dakwaan terhadap anda?
Husni: Ya.

Shafee: Adakah anda kaitan dakwaan ini kepada Najib atas gangguan seksual terhadap seorang kakitangan wanita di pejabat anda dan skandal kewangan?
Husni: Ya.

Shafee: Adakah laporan polis dibuat terhadap anda atas gangguan seksual itu?
Husni: Ya.

Ketika ini, Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram menolak soalan itu dengan berkata ia tidak relevan kepada pertuduhan.

“Soalan ini bertujuan memalukan saksi,” katanya.

Shafee berkata, Husni datang ke mahkamah dengan perasaan marah untuk membalas dendam terhadap Najib.

Katanya, itu hanya tanggapan Husni yang Najib merancang semua perkara itu.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazlai berkata soalan mengenai gangguan seksual bersifat melampau dan bertujuan memalukan saksi.

Beliau kemudiannya tidak membenarkan peguam bertanya soalan mengenai perkara itu lagi.

Terdahulu, Husni memberitahu mahkamah yang beliau pertama kali membaca di akhbar pada 27 Jun 2016 yang Najib berniat memindahkannya ke kementerian lain.

“Saya jumpa beliau selepas satu mesyuarat Majlis Ekonomi pada hari sama dan beliau maklumkan saya akan dipindahkan ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.”

Husni berkata, beliau meminta Najib mengeluarkannya daripada Kabinet.

Saksi itu berkata, beliau mahu meletak jawatan pada 2015, tetapi memilih untuk kekal dalam Kabinet bagi melengkapkan program rasionalisasi kerajaan untuk melangsaikan hutang RM42 bilion yang dihutang 1MDB.

Husni berkata, disebabkan hormat kepada Najib, beliau memberitahu media dan penduduk di kawasan Parlimennya yang beliau meninggalkan kerajaan disebabkan isu 1MDB serta SRC International.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dari SRC International ke akaunnya, bekas anak syarikat 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Perbicaraan diteruskan di depan Nazlan.