[VIDEO] Pemandu Mabuk Rempuh Orang Awam Di Bazar Ramadan Bukit Sentosa

268

SEORANG lelaki dipercayai mabuk mengamuk dan melanggar lima orang awam dan gerai bazar Ramadan dengan kenderaan pacuan empat roda di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, anggota bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Bukit Sentosa diserang dengan kata-kata kesat oleh suspek berusia 32 tahun itu 6.35 petang semalam.

“Selepas itu, suspek keluar dari Balai Polis Bukit Sentosa dengan tergesa-gesa sebelum lima minit kemudian dia meluru masuk ke balai dengan memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Beberapa orang awam dilihat mengejar suspek kerana dia melanggar orang awam di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Arshad berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai dalam keadaan mabuk dan memaki hamun anggota polis yang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Bukit Sentosa.

“Suspek kemudian pergi ke tapak penjaja yang dikumpulkan setempat di Persiaran Orkid, Bukit Sentosa dan melanggar orang awam dan gerai makanan di bazar itu.

“Ekoran kejadian ini, lima orang awam termasuk seorang wanita berusia antara 40 hingga 50 tahun cedera dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, dua kereta, dua motosikal dan dua khemah di tapak perniagaan itu rosak akibat dilanggar suspek.

Menurutnya, terdapat lima laporan polis diterima daripada orang awam membabitkan peniaga gerai yang cedera serta mengalami kerosakan gerai.

“Suspek ditahan dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.