POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ketamin terbesar selepas menahan tiga individu dan merampas dadah bernilai RM5.6 juta dalam dua serbuan berasingan di Persiaran Jengka dan Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman dan JSJN Selangor menahan seorang lelaki di tepi jalan pada 7.40 malam.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemui tiga guni berisi 90 paket dadah jenis ketamin yang diletakkan di tempat duduk belakang.

“Susulan tangkapan suspek, polis kemudian menahan dua lagi suspek di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh pada 8 malam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Zulkifli berkata, semua suspek berusia 41 hingga 54 tahun itu dipercayai menganggotai sindiket pengedaran dadah jenis ketamin di negara ini.

“Siasatan mendapati dadah berkenaan dibawa dari negara jiran. Satu paket ketamin berisi satu kilogram dadah dijual dengan harga RM60,000.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.

Menurutnya, nilai rampasan dadah adalah berjumlah RM5.6 juta dan adalah rampasan dadah ketamin terbesar di negara ini pada tahun ini.

“Dadah berkenaan mampu menampung lebih 300,000 penagih dadah di negara ini. Polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM184,000 termasuk wang tunai RM8,000.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 8 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.