[VIDEO] Timbulkan Kekecohan Di Hospital Seberang Jaya, Pemandu Serah Diri Kepada Polis

699

HANYA kerana menegur seorang lelaki yang meletakkan kenderaannya di parkir teksi, seorang pengawal keselamatan wanita bukan saja dimaki, malah dia lebam betis kiri akibat dilanggar pemandu terbabit yang mengundurkan keretanya di Hospital Seberang Jaya, Georgetown, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 43 tahun membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit.

Selain itu, perbuatan pemandu kereta berkenaan turut dirakam orang awam yang kemudian memuat naik video terbabit sehingga ia tular di Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemandu Proton Saga berkenaan pada mulanya meletakkan keretanya di parkir yang dikhaskan untuk teksi sebelum perbuatannya itu ditegur pengawal keselamatan wanita terbabit.

Menurutnya, suspek kemudian beredar, namun dia datang semula kira-kira 20 minit kemudian dan sekali meletakkan keretanya di parkir teksi terbabit.

“Pengawal keselamatan itu sekali lagi menegur perbuatan suspek hingga berlaku pertengkaran antara mereka berdua.

“Ketika bertengkar itu, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengawal keselamatan berkenaan dan dia kemudian mengundurkan keretanya secara tergesa-gesa sehingga terkena kaki mangsa,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek kemudian terus beredar dan kejadian itu sempat dirakam orang awam hingga video berkenaan tular di media sosial.

“Susulan daripada itu, suspek menyerah diri kira-kira jam 11 malam tadi dan hasil keterangan yang diambil daripadanya, dia mendakwa terpaksa meletakkan kereta di kawasan itu kerana membawa bapanya yang lumpuh untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 323 KK,” katanya.