[VIDEO] Tuduh Duit GST Dirompak : Lim Guan Eng Menipu Lagi

480

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merumuskan tiada kehilangan wang RM19.4 bilion kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan pengurusan dan pembangunan.

Pada masa sama, kerajaan sebelum ini telah terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST.

Ia adalah antara enam rumusan dibuat PAC yang memulakan prosiding mengenai isu berkenaan sejak 12 September tahun lalu melibatkan 12 saksi.

Pengerusinya Datuk Noraini Ahmad berkata, kerajaan sebelum ini telah memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu dan kemudiannya dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan dan seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pembayaran Balik GST ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

“Penetapan dasar untuk memindahkan 35 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST bagi setiap tahun dari Kumpulan Wang Disatukan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST apabila diperlukan adalah tidak mencukupi untuk menampung permohonan pembayaran balik GST.

“Berdasarkan keterangan ketika prosiding, PAC Parlimen mendapati kadar penetapan dasar sewajarnya adalah sekurang-kurangnya 42 peratus,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Isnin.

Justeru, PAC mengemukakan dua syor kepada kerajaan iaitu pentadbiran Kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh undang-undang negara khasnya dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti.

Selain itu, pegawai-pegawai Kerajaan yang telah diamanahkan perlu sentiasa menasihati pentadbiran kerajaan tentang undang-undang, prosedur dan maklumat perangkaan tanpa perlu ada rasa gentar atau pilih kasih terutamanya dalam mengamalkan perancangan aliran tunai dan disiplin kewangan fiskal yang lebih berakauntabiliti. – Awani