Video Tular Bermotif Politik, Azmin Tak Perlu Bercuti – Tun M

228

PUTRAJAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu bercuti daripada tugasnya kerana penyebaran video seks mengaitkan beliau bermotifkan politik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, siasatan polis berhubung kes video berkenaan boleh diteruskan dan tiada halangan walaupun Mohamed Azmin menjalankan tugasnya sebagai menteri seperti biasa.

“Kenapa (perlu bercuti)? Mereka (polis) boleh teruskan (siasatan), tiada halangan (walaupun Mohamed Azmin bertugas seperti biasa).

“Ada siasatan berkaitan salah laku atau jenayah boleh ambil cuti, tetapi ini perkara (bermotifkan) politik, malah ini cubaan untuk memalukan dan mahu beliau (Mohamad Azmin) mengambil cuti.

“Saya tidak suka dengan bukti politik,” katanya kepada media selepas Majlis Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Mengenai sama ada sudah diberi taklimat daripada polis berhubung perkembangan siasatan kes video berkenaan, Dr Mahathir berkata, beliau belum diberikan apa-apa taklimat.

“Mereka (polis) sedang menyiasat semuanya, tiada (taklimat),” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada beliau akan campur tangan susulan dakwaan berlaku pertengkaran dalaman antara pemimpin PKR berkaitan kes video berkenaan, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak membuat apa-apa keputusan kerana siasatan dijalankan oleh polis.

Susulan penularan klip video seks mengaitkan Mohamed Azmin dengan seorang lelaki, beberapa pihak menggesa Perdana Menteri merehatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sebagai menteri.

Ini termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Otai Reformasi dengan alasan bagi membolehkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan selepas aduan mengenainya dibuat.