Waytha Seru BN, Pembangkang Ketepi Perbezaan, Bersatu Bersama Kerajaan Bangunkan Negara

367

Barisan Nasional (BN) dan semua parti pembangkang digesa mencontohi negara negara Barat dengan mengetepikan perbezaan politik dan bersatu untuk membina negara bersama kerajaan baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara & Kesejahteraan Nasional), P Waytha Moorthy berkata, pembangkang sepatutnya berhenti menggunakan sentimen kaum dan agama untuk memperkukuhkan perpaduan.

“Pilihan raya sudah berakhir, rakyat harus bersatu, dalam demokrasi barat yang anda lihat setelah berakhirnya pilihan raya, ahli politik bekerja bersama demi membangunkan bangsa.

“Tetapi malangnya di Malaysia kita tidak melihatnya, ia kali pertama kita berjaya menukar kerajaan, tetapi kita tidak melihat yang berlaku, semua ini sepatutnya berhenti.

“Kita semua harus bersatu, mereka mungkin mempunyai ideologi politik, tidak mengapa, tetapi kita semua harus bersatu untuk memastikan rakyat negara ini bersatu dan kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan & Pembelajaran Kebangsaan 2019 di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana pembangkang masih berterusan menggunakan isu perkauman dan agama demi kelangsungan politik mereka.

“Di negara kita di peringkat akar umbi orang ramai bersatu, tetapi dalam kalangan ahli politik bagaikan satu perlumbaan isu tertentu yang menyentuh bangsa dan agama untuk tujuan politik mereka sendiri,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau menggesa pembangkang berhenti meraih sokongan politik berasaskan kaum dan agama, sebaliknya menyertai kerajaan bagi mempromosikan perpaduan.

“Saya menggesa mereka menyertai kerajaan semasa dalam mempromosikan perpaduan,” katanya.