Yuran Percuma ILP Bertujuan Tambah Penyertaan Belia India Untuk Menyertai Bidang TVET – Kementerian Sumber Manusia

835

JOHOR BAHRU – Kementerian Sumber Manusia mengambil perhatian isu pengecualian bayaran keperluan bagi pelajar baharu khususnya belia India di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak yang tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan, kementerian menjelaskan wujudnya program inisiatif meningkatkan enrolmen pelajar belia India di mana Bajet 2019 telah menyediakan peruntukan khas berjumlah RM5 juta.

“Ini bagi tujuan menambah penyertaan bilangan belia India untuk menyertai bidang TVET di mana jumlah pelajar disasarkan seramai 2,000 orang,” jelas kenyataan tersebut.

Kementerian memaklumkan dalam melaksanakan program itu, Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) akan menjalankan kursus jangka panjang dan pendek, ujian kecenderungan kemahiran serta pra-sijil.

“Bagi kursus jangka panjang, bayaran keperluan sahaja yang dikecualikan bagi pelajar baharu belia India (Diploma dan Sijil).

“Tetapi pelajar belia India masih perlu memohon pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk mengikuti program diploma sepenuh masa,” jelas kenyataan tersebut.

Kementerian memaklumkan, program inisiatif meningkatkan enrolmen pelajar belia India bukan pertama kali dilaksanakan, sebaliknya pernah dianjurkan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2013 hingga 2015.

Selain itu, Kementerian Sumber Manusia juga kini sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan bagi pengecualian bayaran keperluan di ILJTM kepada pelajar dari keluarga B40 serta orang asli.

Terdahulu tular di media sosial wujudnya dakwaan diskriminasi perkauman melibatkan pembayaran yuran di ILP Ledang.

Dakwaan itu timbul berikutan pengecualian bayaran yuran yang diberikan kepada kaum India yang datang mendaftar di pusat latihan itu semalam.

Baca juga: Percuma Untuk Kaum India, Kaum Lain Perlu Bayar Yuran RM1,800 Adalah Satu Diskriminasi Kaum