Zakir Naik Akan Dikenakan Tindakan Jika Siasatan Dapati Ada Kesalahan

319

Meskipun kerajaan telah memutuskan untuk tidak menghantar pulang Dr Zakir Naik ke negara asalnya India, tindakan akan tetap diambil terhadap Dr Zakir Naik sekiranya siasatan mendapati beliau melakukan kesalahan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata semua pihak tertakluk di bawah undang-undang termasuk individu yang bertaraf Pemastautin Tetap (PR) Malaysia.

“Ya (akan ambil tindakan jika salah) sudah tentu, ini pas PR dan rakyat warganegara juga tertakluk pada undang-undang.

“(Pemegang pas PR) bukan wakil negara dalam erti kata sepenuhnya, dia kena patuh terima sebab dia diberi PR sebagai anugerah dari negara.

“Dia tak boleh langgar etika undang-undang, Zakir Naik ke ‘Zakir turun’ ke,” kata Muhyiddin dalam sidang media di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut perkembangan terkini siasatan terhadap Zakir dan adakah penceramah itu akan diambil tindakan jika didadapti bersalah.

Sebelum itu Muhyiddin merasmikan Seminar Antarabangsa Nilai Keagamaan Dalam Mencegah Ekstremisme Ganas.

Muhyiddin berkata pihaknya bukan tidak menghormati Zakir sebagai seorang tokoh namun jika ucapannya boleh menggugat kestabilan negara maka tindakan perlu diambil.

“Kalau dengan sebab itu (ucapan) tersentuh keadaan (menyebabkan) ketidakstabilan, tak puas hati merebak oleh kerana tutur bahasa takkan kita nak diam diri.

“Tidak, bukan kita tak hormat, ada had yang dia kena patuh, sama ada dia rakyat Malaysia atau tidak, undang-undang tak boleh mengatasi perkara yang ada, itu sikap kita dalam menguruskan keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau masih belum menerima laporan berhubung siasatan berkenaan dari pihak polis.

“Selepas daripada tu pihak polis kemuka kepada pejabat peguam negara, saya belum dimaklumkan sama ada sudah selesai atau tidak tapi apapun siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Muhyiddin berkata siasatan polis tidak akan terjejas walaupun kerajaan memutuskan untuk tidak menghantar Zakir.

“Bagaimanapun kita dapat pandangan PM dan itu jadi panduan kita sama ada wajar atau tidak dia dihantar termasuk ada tuntutan India, itu hak kita.

“Undang-undang tidak mengatakan mesti kalau sesuatu negara menuntut, kita mesti respon kalau ada sebab-sebab tertentu yang kita rasa tak wajar, kita tak perlu respon pada tuntutan jadi setakat ini pendirian Malaysia, masih kekal,” katanya.