Zakir Naik Langgar Syarat PR, Cuba Main Politik Perkauman – PM

820

Perdana Mentei Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir Naik cuba bermain ‘politik kaum’ susulan kenyataan terkini pendakwah kontroversi itu mengenai orang Cina dan penganut Hindu rakyat Malaysia.

Dr Mahathir berkata kerajaan tidak kisah sekiranya Zakir sekadar memberikan ceramah agama semata-mata.

“Jelas Zakir mahu terlibat dalam politik perkauman di Malaysia.

“Pertama, saya tidak tahu siapa yang memberikan beliau taraf Pemastautin Tetap (PR). Tetapi untuk menjadi penduduk tetap kamu tidak boleh terlibat dalam politik.

“Kamu boleh berdakwah dan menyampaikan ceramah agama tetapi beliau (Zakir) tidak berbuat demikian. Beliau bercakap mengenai menghantar (orang Cina warga negara Malaysia) ke China… itu (tindakan) politik.

“Sekiranya kamu mahu bercakap mengenai agama, teruskan, itu adalah dibenarkan, kami tidak mahu menghentikannya daripada hal itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Statistik Dunia ISI ke-62 di Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir berkata malahan dirinya sendiri tidak pernah meminta orang lain untuk “pulang”.

“Kami sangat berhati-hati mengenai bagaimana kami mengatakan perkara yang sensitif terhadap masyarakat yang berlainan di negara ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa apa-apa tindakan yang diambil terhadap Zakir akan berlandaskan undang-undang.

“Kerana itu, saya fikir polis perlu menyiasat sama ada dia menimbulkan pergolakan perkauman .. sudah tentu dia.

“Sekarang dia ‘meniupkan’ perasaan perkauman. Ini tidak bagus.

“Kerana itulah saya fikir polis perlu menyiasat sekiranya beliau telah menyebabkan rasa tidak tenteram perkauman… tentulah beliau berbuat begitu.

“Jadi, apa tindakan yang akan kami ambil akan mengikut undang-undang,” katanya.

Zakir membuat kenyataan kontroversi itu pada suatu majlis di Kelantan pada 8 Ogos lalu ketika bercakap mengenai penyebaran Islam yang aman di kepulauan Melayu.

Ketika mengulas pertuduhannya di India, Zakir telah berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai “tetamu lama” .

Untuk rekod, Zakir menafikan semua tuduhan terhadapnya dan mendakwa kenyataannya mengenai orang Cina dan India rakyat Malaysia telah dipetik di luar konteks ucapannya.

Polis telah mengambil kenyataan Zakir dan dijangka akan terus menyoal siasatnya di Bukit Aman esok selepas lebih daripada 100 laporan polis difailkan terhadapnya.

Sebelum ini, Putrajaya enggan menghantar pulang pendakwah itu walaupun terdapat permintaan ekstradisi dari India, menjelaskan Zakir mungkin tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di sana.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin juga berkata Zakir tiada dalam senarai notis merah Interpol dan bukan disyaki pengganas dalam senarai di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Negara.

Mahathir juga telah memaklumkan Malaysia akan mengalu-alukan jika terdapat negara lain yang mahu menerima Zakir.

Dilaporkan Arab Saudi pada Mei 2017 telah memberi kewarganegaraan kepada Zakir.