Zee Jia Sebuah Manifestasi Janji 2 Tahun Misbun Sidek

368

Lee Zii Jia, baru berusia 21 tahun sudah mendaki tangga ke-28 dunia, kini menjadi perseorangan nombor satu negara, mengatasi Liew Darren (29) serta Datuk Lee Chong Wei (31).

Jika diimbas setahun setengah yang lalu, ketika Datuk Misbun Sidek kembali semula ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai ketua jurulatih perseorangan pada Julai 2017, Zii Jia ketika itu berada di tangga ke-75 dunia.

Dalam tempoh itu, Zii Jia dikerah melalui pelbagai rejim latihan yang berat oleh Misbun, diterapkan pelbagai peraturan yang ketat, sama seperti pernah dikenakan Chong Wei dalam mendidik mereka menjadi juara dunia. Antara peraturan yang paling tidak masuk akal, tidak boleh mempunyai teman wanita. Namun Misbun punyai alasan yang tersendiri.

“Saya tak mahu mereka hadir latihan pada awal pagi dengan keadaan tidak segar, bergayut dengan teman wanita, atau keluar bersiar di waktu malam, itu belum kalau mereka bergaduh, pasti hilang focus ketika berlatih, kalau mahu jadi juara dunia, itulah resipinya, apabila kejayaan hadir yang lain turut akan susuli”.

Dalam tempoh itu, menampakkan perubahan ketara dalam pembentukan fizikal Zii Jia, badan dan kakinya lebih berotot dan gaya permainannya sudah semakin boleh menandingi pemain terbaik dunia. Ia bukan sesuatu yang mudah, dalam tempoh setahun setengah ini, dia terpaksa melihat satu demi satu rakan sepasukan merangkap senior disingkirkan atau mengundur diri secara sukarela, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Yee Han dan Soo Teck Zhi.

Misbun secara terang-terangan meletakkan tumpuan kepada Zii Jia sebagai projek juaranya selepas Chong Wei, dan untuk setakat ini, Zii Jia beraksi dengan baik, berjaya mara ke tiga pusingan suku akhir dalam kejohanan Masters Thailad, Malaysia dan Indonesia sambil berjaya singkirkan beberapa lawan yang lebih berpengalaman.

Zii Jia diramalkan mampu layak ke Olimpik Tokyo dengan syarat dia meneruskan momentum sebegini sehingga tamat pusingan kelayakan yang dijangka berakhir pada April 2020. Dan mengingati kembali janji Datuk Misbun Sidek untuk memberikannya tempoh dua tahun untuk melahirkan satu lagi “Lee Chong Wei”, saya percaya janji itu mampu tercapai.